Seni Lukisan Orang Asli Mencerminkan Warisan Dan Budaya Warga Pertama Australia

Lead Image.jpg

Artis suku kaum Gamilaraay/Bigambul dan Yorta Yorta, Arkeria Rose Armstrong. Credit: Arkeria Rose

Get the SBS Audio app

Other ways to listen

Bagi kaum orang asli Australia, seni lukisan dan pertukangan bukan setakat perhiasan semata-mata. Sebaliknya, warga pertama negara ini menggunakan seni sebagai perantaraan untuk mengajar generasi muda tentang warisan, kebudayaan, kepercayaan dan ilmu pengetahuan nenek moyang mereka. Seni orang asli juga memberi peluang kepada kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres mengekalkan tradisi lisan melalui medium seni lukisan dan pertukangan.


Tajuk Utama
  • Seni lukisan warga pertama Australia tidak terhad kepada lukisan titik atau dot painting semata-mata.
  • Seni lukisan menjadi perantaraan untuk mengajar generasi muda tentang warisan, budaya, kepercayaan dan ilmu pengetahuan nenek moyang mereka.
  • Seni lukisan mendekatkan lagi warga asli dengan bumi yang sekian lama didiami.
  • Lambang yang digunakan dalam lukisan mempunyai pelbagai tafsiran mengikut artis yang menghasilkan lukisan terbabit.
Seni lukisan warga pertama Australia adalah antara yang tertua di dunia yang boleh dikesan dari lakaran hampir 17,500 tahun lalu.

Seni kaum orang asli merangkumi pelbagai gaya dan bentuk mengikut tradisi dan lokasi suku kaum terbabit.

Maria Watson-Trudgett ialah seorang wanita Koori kaum “air tawar” Wiradyuri.

Beliau juga seorang artis yang berusaha mempertingkatkan pemahaman seni orang asli di kalangan masyarakat umum.
MWT dengan hasil kesenian beliau.JPG
Maria Watson-Trudgett ialah seorang pakar runding dan artis yang giat mengekalkan warisan dan kesenian suku kaum asli beliau. Credit: Maria Watson-Trudgett Credit: Courtesy of Richmond Fellowship Queensland, 2019
Ramai di kalangan masyarakat umum menyalahanggap seni lukisan kaum orang asli terhad kepada lukisan titik atau "dot painting" sahaja.

Malahan, lukisan titik atau dot painting adalah suatu variasi seni lukisan orang asli yang hanya muncul pada tahun 70-an menerusi pergerakan seni padang gurun barat atau the .

Komuniti kecil ini bertempat di barat laut Alice Springs.

Tempat inilah bermulanya pergerakan artis orang asli yang menggunakan cat akrilik untuk lukisan mereka
Seni lukisan Aboriginal mempunyai pelbagai gaya dan corak yang menyatukan artis dengan bumi, budaya serta warisan suku kaum artis terbabit.
Maria Watson-Trudgett

Menghayati Budaya

Watson-Trudgett mula melukis pada tahun 2009 untuk meringankan tekanan pengajian universiti sepenuh masa.

Namun, beliau sedari bahawa aktiviti melukis itu mendatangkan pelbagai manfaat selain menenangkan fikiran.
Lukisan ialah satu cara untuk menyampaikan kisah dan budaya suku kaum saya kepada masyarakat umum. Ia juga mengeratkan lagi perhubungan dengan budaya Aboriginal, dengan bumi yang didiami, dengan nenek moyang serta warisan suku kaum saya.
Maria Watson-Trudgett
Seorang lagi artis warga asli, Arkeria Rose Armstrong, dari suku kaum Gamilaraay/Bigambul dan Yorta Yorta, menganggap seni lukisan sebahagian daripapda kehidupan beliau.

Lukisan yang dihasilkan oleh Rose Armstrong dipengaruhi oleh seni yang dihasilkan oleh datuk dan nenek beliau suatu ketika dulu.

Malahan nenek Rose Amstrong dari suku kaum Gamilaroy adalah antara pelukis terkahir di kalangan masyarakat beliau yang menggunakan tanah sebagai kanvas lukisan.
IMG_0580.jpg
Seni memain peranan besar dalam kehidupan Arkeria Rose Armstrong. Credit Arkeria Rose Armstrong
Pada masa yang sama, datuk Arkeria Rose Armstrong dari suku kaum Yorta Yorta mengajar beliau teknik melukis.

Rose Armstrong menggambarkan lukisan beliau sebagai gabungan kedua-dua daerah suku kaum beliau.

Tambah beliau, "Setiap lukisan yang direka memberi peluang untuk merenung hakikat bumi yang didiami oleh suku kaum saya sejak turun temurun lagi."

"Dan renungan ini seringkali menimbulkan pelbagai emosi."
Untuk mengekalkan budaya, ianya harus dikongsi bersama dengan masyarakat umum. Juga budaya dan seni itu harus dipraktikkan supaya ianya berkekalan untuk generasi akan datang.
Arkeria Rose Armstrong

Perhubungan Kebudayaan

Davinder Hart ialah seorang lagi artis Aboriginal dari daerah Noongar di barat daya Western Australia.

Davinder dibesarkan di Adelaide sebelum beliau kembali ke daerah asal suku kaum beliau di daerah Ngemba di New South Wales.

Davinder Hart mengalami pelbagai cabaran dan rintangan ketika muda.

Beliau tidak menamatkan persekolahan tinggi, gagal mendapat pekerjaan bermakna dan menjadi mangsa ketagihan dadah.

Mujurlah wujud bantuan dan sokongan daripada kaum keluarga dan sanak saudara kerana akhirnya, Hart berjaya mengubah corak hidup beliau.

IMG_20231021_143030_105.jpg
Davinder Hart di Arab Saudi sempena majis gala makan malam anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 2023. Credit Davinder Hart

Ambil Initiatif Mendalami Kesenian Kaum Orang Asli

Lukisan Watson-Trudgett memaparkan gabungan kontemporari seni abstrak dan motif kebudayaan yang menggunakan aliran garisan dan lambang budaya orang asli.

Ianya mencerminkan gaya lukisan nenek moyang beliau mengguna bumi yang didiami sebagai kanvas lukisan mereka.

Sesetengah lambang mempunyai makna dan erti yang sama tak kira bangsa, namun ada juga lambang yang mempunyai erti berbeza bergantung kepada suku kaum artis yang melukisnya.

"Jangan sesekali anggap semua lambang yang dilihat dalam lukisan hasil karya artis warga asli itu semuanya mempunyai makna yang serupa. Tafsiran lambang terbabit bergantung kepada artis yang melukisnya", tambah Watson-Trudgett.

Arkeria Rose Armstrong sering menghadiri pameran lukisan beliau sendiri kerana ini memberi peluang untuk menjawab soalan dari pengunjung yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam apakah erti lukisan yang dipamerkan.

Seni lukisan hasil karya artis warga pertama negara ini memberi peluang kepada masyarakat umum untuk menghayati warisan budaya dan tradisi kaum orang asli yang sememangnya unik.

Saranan Rose Armstrong, "Langkah permulaan ialah pertanyaan. Yakni, cuba ketahui apakah erti atau makna di sebalik lukisan yang dipamerkan."

Hanya dengan memahami erti lukisan akan kita berpeluang memahami dengan lebih mendalam budaya dan warisan unik yang dihasilkan oleh kaum orang asli negara ini.

Share